Saturday, November 01, 2008

Batu Caves function 2008

GOMBAK - Seramai 300 orang terdiri daripada kalangan warga emas, ibu tunggal dan orang miskin menerima sumbangan barangan dapur pada majlis makan malam yang diadakan di Dewan Muhibah, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Taman Bolton, di sini. Walaupun pertama kali diadakan, tetapi majlis yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Sri Ratnavalli Ashram dengan kerjasama Pemuda MIC dihadiri lebih 1,000 orang dan dihidangkan pelbagai persembahan nyanyian.

Pengasas pertubuhan itu, S Ratnavalli berkata, keadaannya yang pernah hidup dalam kepompong kemiskinan sejak kecil membuka langkah untuk beliau membantu insan yang kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi perayaan Deepavali semakin hampir. Katanya, segala yang dilakukan bukan bertujuan mendapatkan nama dan pangkat, tetapi dengan niat serta matlamat membantu golongan yang susah tanpa mengira kaum dan agama. “Saya mahu melihat mereka dapat meraikan Deepavali dengan kegembiraan dan bantuan yang diberikan diharapkan sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Katanya lagi, beliau juga bertuah kerana suaminya, R Vijaya, sentiasa memberikan sokongan dan galakan untuk beliau terus menabur kebajikan kepada golongan tersebut. Sementara itu Pemuda MIC Pusat, T Mohan menyatakan, ia merupakan program pertama Pemuda MIC bekerjasama dengan pertubuhan itu dan berharap hubungan kerjasama ini dapat diteruskan dari masa ke semasa pada program kemasyarakatan yang lain. Katanya, biarpun sibuk dalam agenda politik, namun Pemuda MIC tidak akan terlepas pandang untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik. “Kami amat prihatin dengan golongan ini dan ia juga bukan sahaja diberikan kepada mereka yang meraikan Deepavali, tetapi sebelum ini kita turut memberikan bantuan keperluan dapur kepada kaum Melayu yang menyambut Aidilfitri,” jelasnya.

Menurutnya, program penyampaian sumbangan keperluan dapur bukan sahaja disampaikan di Batu Caves, malah sebelum ini seramai 2,000 orang di kawasan lain turut menerimanya dan akan diteruskan seluruh negara sempena Deepavali. “Biarpun bantuan yang diberikan tidak banyak, namun kami berharap Deepavali kali ini memberi makna kepada mereka berbanding sebelum ini,” katanya. Bagi ibu tunggal, S Prema, dia gembira dengan sumbangan yang diterima dan pertama kali menerima bantuan seperti ini sejak memegang status itu dua tahun lalu. “Saya berterima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan dan bantuan yang diberikan dapat meringankan beban saya yang kini terpaksa bekerja sendirian demi anak-anak yang masih kecil,” katanya. L Sithra pula memberitahu, sudah lebih dua tahun dia menerima bantuan keperluan dapur daripada MIC setiap kali menjelang Deepavali. “Saya bersyukur kerana masih ada pihak yang prihatin terhadap golongan warga emas seperti saya dan bantuan ini memberi kegembiraan kepada saya dan keluarga untuk menyambut Deepavali,” jelasnya.

No comments: